spy pen

Wednesday, February 22, 2012

Diet dan Senaman untuk Pengidap Kencing Manis

 

Cara terbaik untuk melawan penyakit kencing manis atau diabetes adalah melalui perubahan gaya hidup khususnya menggabungkan diet dengan senaman. Ini bukanlah perkara baru. Pengkaji diabetes dan para pakar selalu mengesyorkan perubahan gaya hidup sebagai senjata utama melawan diabetes. Pelbagai kajian menunjukkan kemungkinan seseorang mengidap diabetes adalah sangat rendah jika mereka bersenam dan mengamal diet yang sihat. Mereka yang mempunyai berat badan yang berlebihan boleh mengurangkan risiko mendapat diabetes jika mereka berjaya mengurangkan berat badan sekurang-kurangnya 10 paun.

Ini adalah berita baik untuk mereka yang mempunyai risiko sederhana atau tinggi untuk mendapat diabetes. Perubahan yang perlu dilakukan bukanlah besar atau mendadak. Mereka hanya perlu mengubah sedikit cara hidup demi untuk mengelakkan dari mendapat penyakit diabetes. Ini adalah sesuatu yang besar bagi setiap individu memandangkan ianya dapat mengawal penyakit yang sangat berbahaya.

Mereka yang obes dan mempunyai berat badan berlebihan sebenarnya mempunyai reseptor insulin yang lebih rendah dari mereka yang mempunyai berat badan normal. Ini menerangkan kenapa mereka yang mengidap diabetes biasanya berat lampau atau obes. Lemak berlebihan membuatkan tubuh individu berkenaan tidak sensitif kepada insulin. Ini bermakna individu yang berat lampau memerlukan lebih banyak insulin dari mereka dengan berat normal. Inilah sebab mengapa mengurangkan berat badan akan mengurangkan dengan banyaknya risiko mendapat diabetes.


Menukar diet: satu dari cara terbaik melawan diabetes

Kuncinya adalah menggabungkan senaman dengan diet yang betul. Diet yang betul bukanlah hanya mengurangkan pengambilan kalori. Ia termasuk mengambil makanan yang betul. Kita patut mengelakkan diri dari mengambil makanan yang kaya dengan lemak terutamanya lemak binatang. Kita juga patut mengurangkan memakan daging merah, produk tenusu dan telor. Karbohidrat yang diproses sama sekali tidak boleh. Ianya termasuk gula pasir (putih), beras putih dan gandum putih. Sebaliknya kita patut mengambil bijirin tulen seperti beras merah atau coklat dan gandum tulen.

Ada juga makanan yang mempunyai kesan seperti insulin kepada tubuh bila ianya dimakan. Sebagai contoh: timun, bawang putih, soya, germa (biji) gandum, buah avocado, kacang hijau, gandum hitam, minyak bijan, sayur-sayuran hijau dan kubis Brussels sprout. Individu yang merasakan mereka mempunyai risiko mendapat diabetes patut tingkatkan pengambilan makanan tersebut.

Pengambilan serat juga akan mengurangkan risiko mendapat diabetes. Makanan yang mengandungi serat yang tinggi biasanya mengandungi kurang gula. Mereka yang mengidap diabetes atau mempunyai risiko mendapat diabetes tidak dapat memproses gula dengan baik. Individu yang mempunyai risiko mendapat diabates patut meningkatkan pengambilan serat. Mereka patut mengambil lebih sayur-sayuran, buah-buahan, produk gandum tulen dan produk bijirin tulen. Pengambilan gula putih dan makanan yang tinggi kandungan gula putih mesti dikurangkan. Anda perlu menggantikan makanan tersebut dengan yang mengandungi serat yang tinggi.

Mereka yang ingin mengelakkan diabetes juga patut menjauhi minuman beralkohol. Alkohol akan mengurangkan tolerans glukosa terutamanya bagi mereka yang telah berumur dan mereka yang mempunyai risiko mendapat diabetes. Tambah lagi, pesakit diabetes yang meminum walau sedikit minuman beralkohol berkemungkinan besar akan rosak mata dan saraf mereka. Selain dari minuman beralkohol, merokok juga patut dielakkan untuk selamat dari mendapat diabetes. Rokok meningkatkan risiko penyakit jantung, sakit buah pinggang dan lain-lain masalah kesihatan berkaitan dengan diabetes. Perokok tegar lebih mudah mendapat diabetes dari bukan perokok. Jadi sekiranya anda merokok, berhentilah dari tabiat tersebut demi kesihatan diri dan keluarga. Jika anda tidak merokok, jauhilah diri dari tabiat tersebut.

Senaman melindungi anda dari diabetes

Kedua-dua jenis diabetes (jenis 1 dan 2) boleh dielakkan atau diperbaiki dengan selalu melakukan senaman ringan. Fakta menunjukkan individu yang mengidap diabetes jenis 1, yang selalu bersenam, memerlukan kurang insulin. Manakala individu sihat yang selalu bersenam berkemungkinan besar tidak akan mendapat diabetes jenis 2. Sebabnya bersenam mengurangkan lemak badan dan seterusnya menambahbaik darjat sensitif badan terhadap insulin.

Senaman tidak semestinya senaman berat terutamanya jika sudah meningkat usia. Senaman mudah seperti berjalan, berlari, berenang dan berbasikal dapat memperbaiki tahap gula dalam darah. Senaman memperbaiki penggunaan glukosa oleh otot-otot berkenaan. Kesannya akan kekal lebih dari dua hari. Profil lemak darah dan tekanan darah yang memberi kesan kepada diabetes juga akan bertambah baik dengan selalu bersenam.

Setiap individu, terutamanya pengidap diabetes, perlu memantau paras gula dalam darah bila melakukan senaman. Ini disebabkan senaman boleh mengurangkan dan juga meningkatkan paras gula dalam darah. Anda dinasihatkan supaya meminta nasihat doktor anda sebelum menjalani apa-apa program senaman.

Tuesday, June 14, 2011

Kencing Tidak Terkawal - Inkontinens Urinari

 

 
Prof. Madya Dr. Shah Reza Johan Noor.
Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, Hospital Universiti Sains Malaysia


Memalukan. Tetapi, boleh dirawat. Inkontinens urinari bermakna anda tidak berupaya untuk mengawal pembuangan air kecil. Akibatnya, celana dalam dan pakaian anda basah dengan air kencing.

Walaupun masalah ini menjejaskan jutaan orang, ia bukanlah sebahagian daripada penuaan yang semulajadi ataupun sesuatu yang normal di kalangan wanita disebabkan oleh proses bersalin atau menopaus.

Hakikatnya, ia merupakan satu keadaan perubatan yang berpunca daripada banyak sebab - ada yang relatifnya mudah dan ada juga yang lebih kompleks. "Wanita lebih banyak mengalami ketidakupayaan pengawalan air kencing berbanding dengan lelaki. Tidak mengapa sekiranya sekali sekala berlaku insiden terkeluarnya air kencing.

"Tetapi sekiranya ia menganggu kehidupan seharian anda, jangan segan dan malu untuk mendapatkan rawatan. Kebanyakan permasalahan ini dapat dirawat. Jangan jadikan umur sebagai satu alasan," kata Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, Hospital Universiti Sains Malaysia, Prof. Madya Dr. Shah Reza Johan Noor.

Menurutnya, ramai wanita yang mengalami kebocoran air kencing pada masa-masa tertentu. Situasi-situasi yang memungkinkan mereka tidak dapat mengawal pengaliran air kencing adalah:
  • Apabila melakukan aktiviti fizikal seperti senaman
  • Tegasan tertentu seperti batuk berlebihan atau meneran
  • Persekitaran seperti apabila mendengar deruan air mengalir dan juga mungkin bila saja tersentuh dengan air
  • Semasa mengandung
  • Ada juga yang tidak boleh menahan sebaik sahaja rasa nak kencing.

Kenali Sistem Perkumuhan Air Kencing


Sistem perkumuhan wanita terdiri dan pada:
- Buah pinggang, menghasilkan air kencing
- Ureter/salur kencing, menyalurkan air kencing dan buah pinggang ke pundi kencing
- Pundi kencing, organ penyimpanan air kencing
- Uretra, salur yang mengeluarkan air kencing keluar dari pundi kencing

Pembuangan air kecil berlaku apabila isipadu air kencing dalam pundi kencing mencapai tahap di mana ia akan merangsang anda untuk kencing. Otot-otot di sekitar uretra akan melonggar manakala otot-otot pundi kencing pula akan berkontraksi (mengecut) menyebabkan air kencing dilepaskan keluar dan sebaliknya berlaku apabila pembuangan air kencing dihentikan.

Jenis Inkontinens Urinari

Ketegasan/ketegangan/stres. Berlaku pada wanita yang muda apabila tekanan di dalam pundi kencing melebihi tekanan di uretra menyebabkan kebocoran air kencing apabila anda bersin, batuk ataupun ketawa. Kebocoran mungkin juga berlaku semasa berjalan, berlari ataupun senaman aerobik. Puncanya, otot-otot pundi kencing ataupun otot-otot di uretra menjadi lemah.

Desakan. Berlaku mungkin kerana pundi kencing wanita terlampau aktif ataupun mungkin juga kerana saraf-saraf yang menghantar isyarat pada pundi kencing. Ini menyebabkan anda tidak sempat untuk ke bilik air apabila terasa hendak kencing.

Kombinasi. Apabila faktor ketidakupayaan bergabung di antara ketegasan dan desakan keterlaluan, jadi kebocoran berlaku sama ada pada satu fasa ataupun kedua-duanya sekali.

Limpahan/tumpahan. Berlaku apabila otot-otot pundi kencing tidak aktif ataupun berlakunya rintangan pada uretra, jadi pembuangan air kencing tidak lengkap dan tidak puas. Isipadu air kencing yang masih banyak menyebabkan kebocoran berlaku.

Faktor fungsian. Mungkin disebabkan oleh masalah kesihatan yang menghalang seseorang wanita dan bergegas ke bilik air dengan serta merta. Antara lain, permasalahan tersebut mungkin kerana penyakit sendi seperti artritis, strok, penyakit sistem saraf, masalah pergerakan dan koordinasi (contohnya, susah untuk berjalan).

Rungutan

Bergegas. Keinginan keterlaluan untuk kencing walaupun isipadu air kencing belum lagi mencukupi, kadang kala diikuti dengan rasa ketegangan pada pinggul.

Acap kali. Terpaksa ke bilik air berulang kali melebihi dari urutan normal anda, rasa seperti tidak puas kencing.

Nokturia. Terpaksa bangun malam beberapa kali untuk kencing.

Disuria. Mengalami proses pembuangan kencing yang menyakitkan.

Enuresis. Terkencing tanpa disedari semasa tidur.

Selanjutnya:

 

 


Punca Kencing Tidak Terkawal - Inkontinens Urinari

Infeksi/jangkitan pundi kencing.
Tanda-tanda penyakit seperti sakit untuk kencing, acap kali ke bilik air dan juga mungkin kehadiran darah di dalam air kencing. Infeksi pundi kencing dan juga uretra lazim berlaku pada wanita kerana struktur anatominya. Jangan bimbang, mereka ini mudah dirawati.

Keteguhan tisu-tisu penyokong organ pinggul. Ini mungkin kerana faktor usia, kelahiran anak yang ramai dan juga mungkin kerana proses kelahiran itu sendiri, lambat laun akan melemahkan tisu-tisu penyokong di pinggul. Ini menyebabkan gangguan terhadap anatomi yang tidak selari.

Keabnormalan sistem saluran kencing. Mungkin kerana kehadiran fistula iaitu pembukaan abnormal dari sistem kencing ke dalam faraj. Ini berlaku mungkin kerana pembedahan pelvik, proses kelahiran, rawatan radiasi, kanser di pinggul dan sistem perkumuhan air kencing.

Permasalahan neuromuskular. Berlaku apabila isyarat dari otak dan korda spinal tidak berhubungan dengan organ-organ pundi kencing dan uretra. Keadaan seperti kencing manis dan strok merupakan contoh yang biasa berlaku.

Penggunaan ubat-ubatan tertentu. Ubat diuretik yang digunakan seperti dalam perawatan sakit jantung ataupun darah tinggi menyebabkan isipadu air kencing bertambah dengan cepat.

Selanjutnya:

Punca Utama Batuk Berterusan

 


Batuk Tanpa Henti? 8 Punca Yang Mungkin.

Anda sudah berminggu-minggu batuk. Bagaimanakah untuk anda tahu adakah ia hanya selsema biasa yag sukar untuk sembuh atau suatu yang lebih serius?

Hanya doktor sahaja boleh memastikan apakah sebab di sebalik batuk anda. Beberapa keadaan mungkin boleh dijadikan dalangnya, seperti lelah asma; sindrom batuk laluan udara atas (UACS); penyakit refluks gastroesofagus (GERD); dan penyakit sekatan pulmonari kronik (COPD), satu penyakit serius, progresif yang merangkumi kedua-dua emfisema dan bronkitis.

Baca lagi tentang COPD dan beberapa penyebab biasa (dan agak luar biasa) batuk kronik dan berterusan. Klik pada foto atau pautan di bawah:








Saturday, June 4, 2011

Makan Dengan Lebih Baik

 

Diet dan gaya hidup yang sihat adalah senjata terbaik anda untuk melawan penyakit kardiovaskular. Bagaimanapun, terdapat banyak maklumat yang bercampur aduk dengan mitos berkaitan dengan pemakanan yang sihat. Adalah tidak mengejutkan andai banyak di antara kita yang terkeliru tentang jenis-jenis lemak. Kita juga ada banyak persoalan berkaitan dengan garam, daging dan hasil tenusu. Dengan semua perbezaan-perbezaan pendapat, adalah baik untuk mendapat maklumat dari sumber yang boleh dipercayai, agar anda dapat membuat pilihan yang bijak bagi diet anda untuk faedah jangka masa panjang terhadap jantung dan kesihatan anda. Corak pilihan keseluruhan andalah yang paling diambil kira.

Makanan Sihat.Apa yang Paling Penting?

Anda mungkin makan banyak makanan, tetapi tubuh anda mungkin tidak mendapat zat-zat yang diperlukannya untuk menjadi sihat. Makanan kaya zat mengandungi mineral, vitamin, serat dan zat-zat lain, tetapi rendah kalori. Untuk mendapat zat-zat yang anda perlukan, kerapkan memilih makanan seperti sayur-sayuran, buah-buahan, produk bijirin dan produk tenusu tanpa lemak atau rendah lemak. Pakar kesihatan mengesyorkan anda makan pelbagai makanan berkhasiat setiap hari dari setiap kumpulan asas makanan.

Garis Panduan Pilihan Makanan Yang Disyorkan

Buah-buahan dan sayuran adalah tinggi vitamin, mineral dan serat – dan ianya rendah kalori. Memakan pelbagai buah-buahan dan sayur-sayuran boleh membantu anda mengawal berat dan tekanan darah anda.

Makanan bijirin tidak hancur mengandungi serat yang boleh membantu menurunkan kolesterol darah anda dan membantu anda berasa kenyang, yang akan membantu anda menguruskan berat badan anda.

Makan ikan sekurang-kurangnya dua kali seminggu. Kajian yang telah dilakukan menunjukkan ikan berminyak mengandungi asid lemak omega-3 boleh membantu merendahkan risiko kematian kerana penyakit arteri koronari. Pilih daging tanpa kulit dan sediakannya tanpa menambah lemak tepu dan lemak trans. Pilih produk tenusu tanpa lemak, lemak 1 peratus dan rendah lemak.

Kurangkan makanan yang mengandungi minyak sayuran separa dihidrogenasikan untuk mengurangkan lemak trans dalam diet anda. Sasarkan untuk makan kurang dari 300 miligram kolesterol setiap hari. Sediakan dan pilih makanan sedikit atau tanpa garam. Sasarkan untuk makan kurang dari 1500 miligram garam setiap hari

Jadi Aktif  

Mencari masa dalam hidup yang terlampau sibuk untuk bersenam adalah satu cabaran bagi semua rakyat Malaysia yang memang sibuk. Ini benar terutama bagi mereka yang juga adalah ibu bapa atau bekerja sepenuh masa atau kedua-duanya. Tetapi manfaat bersenam adalah jauh lebih besar dari nilai mengorbankan masa bekerja itu. Dan bagi sesiapa yang telah berjaya menguruskan masa untuk berbuat demikian akan memberitahu anda betapa gembiranya mereka untuk mendapati masa tersebut. Mereka akan memberitahu anda betapa lebih bertenaganya mereka, dan bagaimana mereka boleh melakukan sesuatu kerja dengan lebih lagi berbanding sebelum mereka mula bersenam secara selalu. Jadi tiada lagi alasan untuk anda! Buatlah satu tindakan aktif dalam menentukan masa depan anda. Anda berhak memberi diri anda hadiah untuk hidup dengan baik dengan kesihatan baik.

Mengapa Menjadi Aktif Begitu Penting?

Fakta-faktanya jelas: Dengan bersenam sesedikit 30 minit setiap hari anda boleh mengurangkan risiko anda untuk penyakit jantung. Tanpa aktiviti fizikal tetap, badan perlahan-lahan kehilangan kekuatan dan keupayaannya untuk berfungsi dengan baik. Aktiviti fizikal = kehidupan lebih sihat lebih lama.

Aktiviti fizikal secara tetap membantu: Menurunkan tekanan darah, meningkatkan kolesterol “baik” HDL dalam darah anda, mengawal gula dalam darah dengan memperbaik bagaimana badan anda menggunakan insulin, mengurangkan perasaan tekanan atau stres, mengawal berat badan dan membuat anda rasa suka tentang diri anda.

Garis Panduan Ringkas

Pakar-pakar kesihatan mencadangkan sekurang-kurangnya 150 minit setiap minggu senaman sederhana atau 75 minit setiap minggu senaman berat. Atau satu campuran sederhana dan berat. Aktiviti fizikal adalah apa saja yang membuat anda menggerakkan badan anda dan membakar kalori, seperti menaiki tangga atau bersukan. Senaman-senaman aerobik seperti berjalan, berjoging, berenang atau berbasikal memanfaatkan jantung anda. Senaman kekuatan dan senaman regangan adalah terbaik untuk stamina dan kelenturan menyeluruh anda.

Untuk meningkatkan aktiviti fizikal dalam gaya hidup anda, anda boleh cuba:
  • Meletak kereta jauh sedikit dari tempat yang anda tuju
  • Berjalan-jalan atau bersiar-siar dengan berjalan kaki sepanjang hari bekerja di sekitar tempat kerja
  • Bermain dengan teman-teman dan keluarga anda.
Paling mudah, perubahan positif yang boleh anda lakukan untuk meningkatkan kesihatan jantung anda dengan berkesan ialah dengan mula berjalan. Ia menyeronokkan, percuma, mudah, dapat bertemu mata dengan orang, dan juga satu senaman yang hebat!

KOLESTEROL

Kawal Kolesterol

Kolesterol ialah sejenis bahan yang seakan lemak, lembut dan berlilin yang berada dalam salur darah dan dalam semua sel-sel badan anda. Kolesterol adalah sebahagian penting bagi tubuh yang sihat kerana ianya digunakan untuk menghasilkan membran sel dan sesetengah hormone, dan berfungsi dalam fungsi-fungsi tubuh yang lain. Tetapi terlalu banyak kolesterol dalam darah adalah satu risiko yang besar untuk penyakit jantung koronari (yang akan membawa kepada serangan jantung) dan juga angin ahmar.

Apakah Dia Kolesterol?

Kolesterol dating dari dua sumber: badan anda dan makanan. Hati anda dan sel-sel lain dalam tubuh anda menghasilkan 75 peratus dari kolesterol darah. Selebihnya 25 peratus datang dari makanan yang anda makan.

Kolesterol LDL adalah kolesterol ‘jahat’. Apabila ia terlalu banyak berkitar dalam darah, ia boleh menyumbat arteri, meningkatkan risiko anda untuk serangan jantung dan strok. Kolesterol LDL dihasilkan secara semulajadi oleh tubuh, tetapi ramai orang mewarisi gen yang menyebabkan mereka menghasilkannya terlalu banyak. Memakan lemak tepu, lemak trans dan kolesterol makanan juga meningkatkan jumlahnya yang ada pada anda.

Saranan dari Pakar

Adalah penting bagi semua untuk mengetahui tahap kolesterol mereka. Jumlah kolesterol darah adalah ukuran paling biasa bagi kolesterol darah. Ia adalah jumlah yang anda perolehi dari keputusan ujian. Kolesterol diukur dalam miligram per desiliter darah (mg/dL). Tahap kolesterol sebanyak 200 mg/dL atau lebih meletakkan diri anda dalam kategori berisiko tinggi dan menjadi penyebab untuk anda bertindak.

Bagaimana Untuk Merendahkan Kolesterol

Berita baiknya adalah, anda boleh menurunkan kolesterol anda dan mengurangkan risiko penyakit jantung dan angin ahmar. Sama ada anda telah diberi ubat preskripsi atau dinasihatkan untuk membuat perubahan diet dan gaya hidup untuk membantu menurunkan kolesterol anda, ikutilah saranan doktor anda dengan baik. Untuk mengekalkan kolesterol anda dalam kawalan anda disarankan: membuat jadual untuk ujian kolesterol, makan makanan yang rendah kolesterol dan lemak tepu dan bebas dari lemak trans, kekalkan berat yang sihat, dan sentiasa aktif secara fizikalnya.

Friday, February 25, 2011

Strok (Angin Ahmar) Meningkat Dalam Golongan Muda dan Usia Pertengahan

 

Los Angeles — Strok sedang meningkat dengan pantas dalam golongan muda dan usia pertengahan, satu petanda yang wabak obesiti sudah mula berpindah beban usia.

Bilangan tersebut, yang telah dikeluarkan pada satu sidang Pertubuhan Strok Amerika, datang dari satu bancian pertama kali penghospistalan strok berdasarkan usia seluruh negara yang terbesar dilakukan. Para penyelidik kerajaan membuat bandingan kemasukan kes ke hospital pada tahun 1994 dan 1995 dengan kes tahun 2006 dan 2007.

Peningkatan paling tinggi, sebanyak 51 peratus adalah dari golongan lelaki berumur di antara 15 ke 34 tahun. Strok dalam kumpulan umur ini turut meningkat dalam kalangan wanita tetapi tidak sepantas lelaki, iaitu sebanyak 17 peratus.

“Ia sememangnya mencemaskan,” kata Dr. Ralph Sacco, presiden Pertubuhan Strok Amerika dan juga seorang ahli neurologi di Universiti Miami. “Kita telah lama runsing berkenaan peningkatan berlakunya obesiti dalam kanak-kanak dan dewasa muda mungkin memberi kesan penyakit kardiovaskular dan strok, dan rupanya ianya sedang berlaku,” katanya.

Angka Bancian

Angin ahmar masih penyebab penghospitan terbesar kepada golongan berusia. Bagi mereka yang berusia lebih 65 tahun, terdapat 300 kes strok daripada 10 000 kemasukan ke hospital. Bagi lelaki berusia 15 ke 34 tahun, terdapat 15 kes strok daripada 10 000 kemasukan , dan bagi wanita dan remaja perempuan dalam kumpulan umur itu terdapat 4 kes daripada 10 000.

Bagi setiap 10 000 kemasukan ke hospital pada 1994-95 berbanding 2006-07, strok meningkat:
- 51 peratus, dari 9.8 ke 14.8 kes, bagi lelaki 15 ke 34 tahun
- 17 peratus, dari 3.6 ke 4.2 kes, bagi perempuan 15 ke 34 tahun
- 47 peratus, dari 36 ke 52.9 kes, bagi lelaki 35 ke 44 tahun
- 36 peratus, dari 21.9 ke 30 kes, bagi perempuan 35 ke 44 tahun

Corak yang berlawanan berlaku bagi golongan berusia. Strok menurun 25 peratus bagi lelaki 65 tahun dan lebih (dari 404 ke 303 bagi 10 000 kes), dan 28 peratus bagi wanita dalam kumpulan umur ini (dari 379 ke 274). Para doktor berpendapat pencegahan dan rawatan terhadap faktor risiko seperti tekanan darah tinggi yang lebih baik dalam golongan usia emas mungkin menyumbang kepada penurunan ini.

Punca Peningkatan

Di Universiti California Los Angeles (UCLA), para doktor mendapati strok dalam golongan muda adalah berkaitan dengan tekanan darah tinggi dan arteri tersumbat, kata Dr. Jeffrey Saver, pengarah pusat strok di UCLA.

Allison Hooker pula, seorang jururawat yang mengendalikan penjagaan strok di Forsyth Medical Center di Winston-Salem, berkata hospital beliau juga turut mendapati lebih banyak strok berlaku dalam golongan orang muda dengan faktor penyebab seperti merokok, obesiti, tekanan darah tinggi, pengambilan melampau alkohol dan kencing manis (diabetes).

"Saya boleh katakan sekurang-kurangnya separuh dari bilangan (pesakit angin ahmar) kami adalah dalam usia 40an atau awal 50an, " kata beliau

Seks Oral Mengatasi Merokok Sebagai Punca Kanser Kerongkong - Kajian

 

Mengikut penyelidikan yang disampaikan pada mesyuarat tahunan Pertubuhan Untuk Pemajuan Sains Amerika (AAAS) minggu ini, seks oral mengatasi merokok dan penggunaan tembakau sebagai punca utama kanser kerongkong dalam kalangan rakyat Amerika.

Menurut laporan dari agensi-agensi berita, 64 peratus dari semua kanser dalam mulut, kerongkong, kepala dan leher adalah disebabkan oleh virus papiloma manusia (human papillomavirus, HPV), satu virus penyakit kelamin yang tersebar melalui pelbagai sentuhan intim. HPV ialah punca utama barah pangkal rahim dalam kalangan wanita, dan juga telah dikaitkan dengan kanser dubur, vulva, vagina dan zakar.

Statistik telah menunjukkan sekurang-kurangnya lima peratus dari semua barah yang didiagnos di seluruh dunia adalah disebabkan oleh HPV.

Sehingga kini, para saintis telah mengenal pasti lebih daripada 150 elemen HPV, termasuk jenis risiko tinggi dan risiko rendah. Kira-kira 15 elemen risiko tinggi telah dikaitkan dengan kanser; manakala elemen-elemen lain pula boleh menyebabkan ketuat pada alat kelamin dan anggota badan yang lain.

Dr. Maura Gillson memberitahu para hadirin mesyuarat tahunan AAAS itu bahawa risiko mendapat kanser oral berkait-HPV adalah berkait dengan berapa bilangan pasangan seks seseorang itu. Mereka yang mempunyai enam atau lebih pasangan semasa semasa hayat masing-masing mempunyai lapan kali ganda risiko untuk mendapat kanser ini, katanya.

Jika anda tidak berminat untuk menjadi sebahagian dari statistik itu, ada langkah-langkah anda boleh ambil untuk mengelak penyebaran HPV dan penyakit-penyakit bawaan seks yang lain. Berada dalam satu hubungan jangka panjang bersama pasangan tidak terjangkit boleh meminimumkan risiko jangkitan HPV.

Adalah penting untuk menyedari bahawa seks oral membawa banyak risiko yang sama dengan perlakuan-perlakuan intimasi yang lain; bukan sahaja HPV boleh dipindahkan melalui seks oral, sifilis, herpes dan hepatitis-B juga boleh merebak melalui sentuhan oral dengan alat kelamin pasangan